Showing posts with label ACAB. Show all posts
Showing posts with label ACAB. Show all posts

Tuesday, 11 July 2017

5 Band Yang Pernah Mewarnai Scene Muzik Underground Era 90an


Scene muzik underground di Malaysia dikatakan sudah bermula lewat tahun 70an. Pada ketika itu, penggemar muzik underground lebih terpengaruh dengan muzik bergenre punk kerana banyak membaca majalah-majalah dari England dan juga kerana pengaruh band punk yang sangat popular pada ketika itu iaitu The Sex Pistols.
Pada era 80an, muzik underground sedang membangun dan berkembang. Pada ketika ini, band-band underground semakin dikenali sedikit demi sedikit. Joe Kidd adalah orang pertama yang memulakan scene punk di Kuala Terengganu dan scene muzik underground ini menjadi semakin hangat pada penghujung tahun 80an.
Diawal kemunculan scene muzik underground ini, hanya muzik bergenre metal yang banyak menguasai carta muzik underground. Namun begitu, apabila masuk ke era 90an, scene muzik underground semakin meletup dengan kemunculan band-band underground yang menampilkan muzik bergenre alternatif, punk, skin, grunge, brit pop, hardcore dan juga indie.
Kehadiran mereka di dalam scene underground ini adalah kerana mereka sudah bosan dengan industri muzik tempatan yang hanya lebih tertumpu pada nilai-nilai komersial yang langsung tiada kelainan. Oleh kerana itu, tertubuhlah band-band underground era 90an yang cukup popular dikalangan remaja ketika itu.
Untuk artikel ini, kami akan menceritakan 5 band yang telah membantu dalam menaikkan scene underground dalam era 90an sahaja. Band-band ini telah memberi impak yang sangat hebat kepada para remaja sehingga banyak penganjuran gig dibuat untuk memenuhi kehendak para peminat.
Jom kita lihat 5 band yang telah mewarnai scene underground dalam era 90an ini.

muzik underground
Kredit foto: carburetordung.kerbau.com

Carburetor Dung

Band yang membawa genre muzik punk rock ini telah ditubuhkan pada tahun 1991. Band ini telah ditubuhkan oleh Fendi, iaitu pemain bassist band ini. Namun begitu, nama asal band ini ialah Stormfish. Tetapi, setelah kemasukan Joe Kidd sebagai gitaris, band ini bertukar nama menjadi Carburetor Dung.
Album pertama Carburetor Dung yang berjudul ‘Song For Friends’ telah dilancarkan pada tahun 1993. Pada ketika, bandmates band ini terdiri daripada Fendi, Joe Kidd, Lan Bear, Pari ‘rasta’ Fari dan juga Shahlan. Lagu dalam album ini yang cukup popular sehingga kini dan telah menaikkan nama Carburetor Dung ialah ‘Boo Hoo Clapping Song’.
Carburetor Dung masih lagi aktif bermain muzik sehingga kini dan masih kekal bergerak secara underground. Menurut Joe Kidd, mereka masih mahu berpegang kepada prinsip DIY di mana segala-galanya dibuat oleh mereka sendiri dan tidak terikat dengan peraturan sesiapa. Dengan itu, dapatlah mereka menghasilkan muzik yang benar-benar datang dari isi hati mereka.

muzik underground
Kredit foto: discogs.com

A.C.A.B

Band yang membawa muzik bergenre Oi! ni telah memulakan perjuangan muzik mereka pada tahun 1994. A.C.A.B diasaskan oleh dua anak muda dari Kuala Lumpur bernama Magskin dan juga Eddie. Dari dua orang ini, mereka telah mengambil ahli-ahli lain untuk melengkapkan barisan band ini iaitu Sham, Anas dan juga Black.
Demo pertama A.C.A.B ini telah dilancarkan pada tahun 1995. Demo yang berjudul ‘A.C.A.B’ ini telah dimuatkan dengan 7 buah lagu dan antaranya ialah lagu seperti ‘Unfairground’, ‘A.C.A.B’ dan juga ‘Fight For Your Right’. Demo ini telah dikeluarkan di bawah label mereka sendiri iaitu Brovver Brigade Records.
Band A.C.A.B ini boleh dikatakan sebagai band yang telah menaikkan scene skinhead dalam Malaysia. Lagu-lagu band ini juga kebanyakannya tentang perjuangan hidup golongan pertengahan. Namun begitu, pada tahun 2006, band ini telah membawa genre muzik yang baru. Dari Oi!, band ini beralih ke genre indie rock dan seterusnya mengubah nama band ini menjadi The A.C.A.B.

muzik underground
Kredit foto: metrolyrics.com

Butterfingers

Dua ahli terawal dalam band ini ialah Loque dan juga Kadak. Ini kerana mereka bersekolah di sekolah yang sama iaitu Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Pada tahun 1993, Loque telah bertemu Emmet di mana pertemuan itu menyebabkan Emmet bersetuju beraksi bersama Loque. Line-up terawal Butterfingers pada masa itu ialah Loque, Kadak, Emmet dan juga Kalai di mana Emmet menjadi vokalis utama band ini.
Butterfingers adalah sebuah band yang membawa muzik bergenre grunge memandangkan mereka mendapat pengaruh band grunge yang cukup terkenal di Amerika Syarikat iaitu Nirvana. Dua lagu terawal yang dimainkan oleh band ini ialah ‘Girl Friday’ dan juga ‘Nic O’ Tynne’. Semasa mempersembahkan lagu-lagu ini di Cobra Club House, Petaling jaya, di mana ini adalah persembahan pertama mereka, para penonton telah memberi sambutan gemuruh dan seterusnya menyebabkan mereka menjadi lebih bersemangat untuk bergiat dalam industri muzik.
Butterfingers telah mengeluarkan 6 album setakat ini dan antara lagu-lagunya yang masih diingati adalah seperti ‘Chemistry’, ‘Chrome’ dan terdapat juga lagu-lagu berbahasa Melayu seperti ‘Kabus Ribut’ dan ‘Merpati Sejoli’. Kini Butterfingers boleh dikatakan telah mengundur diri dalam industri muzik tempatan dan Loque akhirnya memutuskan menubuhkan band baru bernama Monoloque.
Namun begitu, Butterfingers akan membuat kemunculan semula dalam acara ‘Rockaway 2016’ yang akan bermula pada 29 Oktober 2016. Inilah peluang kepada para peminat Butterfingers untuk melepaskan rindu mereka.

muzik underground
Kredit foto: thestar.com.my

OAG

Band OAG ataupun nama panjangnya ‘Old Automatic Garbage’ dan kemudiannya ditukar menjadi ‘Orang Asia Genius’ adalah band underground yang telah ditubuhkan pada tahun 1992. Kumpulan ini ditubuhkan selepas menonton Konsert ‘Ikhlas’ pada tahun yang sama. Ahli asal band ini ialah Radhi, Lam dan Chi. Memandangkan zodiak mereka bertiga ialah Leo, maka lambang singa digunakan untuk menjadi logo OAG.
OAG adalah band yang membawa muzik bergenre rock alternatif dan pada asalnya band ini cuma bergerak dalam scene underground. Tetapi, selepas OAG menghantar demo mereka kepada Positive Tone dan telah menarik perhatian Paul Moss (penerbit) dan beliau terus mendaftarkan OAG di bawah Positive Tone.
OAG boleh dikatakan sebagai band yang berjaya mencipta nama di arus perdana walaupun bermula di scene underground. Antara pencapaian membanggakan OAG ialah apabila band ini dipilih untuk menyanyikan lagu tema yang bertajuk ‘Name of The Game’ untuk Piala Dunia Belia 1997.

muzik underground
Kredit foto: mp3tunes.tk

The Pilgrims

Band ini ditubuhkan pada tahun 1987 dan berasal dari Kuantan, Pahang. Pada asalnya, nama band ini ialah Hijrah. Tetapi, apabila mereka mendapat tahu ada band di Sarawak yang menggunakan nama yang sama, band ini mengubah nama mereka menjadi The Pilgrims.
Band ini dianggotai oleh 4 orang anak muda dan line-up asal band ini ialah Kombat, Bob Magnus, Hashim Semirin dan Bain. Band ini membawa muzik bergenre metal, tetapi ada yang mengatakan bahawa band ini membawa muzik bergenre punk rock. Album pertama mereka dilancarkan pada tahun 1992 dan berjudul ‘Perfume Garden’.
The Pilgrims telah menghasilkan 5 buah album di mana album terakhir mereka yang berjudul ‘Achtung. This Is Not A Metal Band’ telah dikeluarkan pada tahun 2000. Band ini juga sebenarnya turut mendapat sentuhan bandmate Carburetor Dung iaitu Joe Kidd. Antara lagu-lagu popular yang dimainkan oleh band ini ialah ‘Churaliya’ dan juga ‘Sua Sui Good Morning’.
Kehadiran 5 band ini dalam scene muzik underground Malaysia sememangnya telah mencipta fenomena yang tersendiri. Selain itu, para pendengar muzik pada ketika itu mempunyai lebih banyak pilihan berbanding mendengar muzik-muzik tempatan yang hanya mempunyai nilai-nilai komersial.
Andainya anda mempunyai pendapat dan pandangan tentang scene muzik underground Malaysia ini, kami berharap agar anda dapat tinggalkan pendapat anda dalam ruangan di bawah. Kami berminat untuk berkongsi dan juga bertukar-tukar pandangan dengan anda. Jangan lupa komen ya.

Sumber: Malayneum.tripod.com ,Wikipedia, FB Page Carburetor Dung, FB Page The Pilgrims , www.mensive.com 


Monday, 1 May 2017

BIOGRAFI: A.C.A.B.




Kumpulan A.C.A.B. diasaskan oleh dua orang remaja yang berasal dari Kuala Lumpur iaitu Magskin dan juga Eddie. Merekalah yang menubuhkan band ini ketika penerimaan muzik Oi! berada di paras membanggakan. Bagi melengkapkan kumpulan ini, mereka mengundang Sham, Anas serta Black dan kemudiannya sama-sama memulakan penerokaan muzik Oi! yang dicintai. Nama A.C.A.B. dipilih dan digunakan sehingga ke hari ini.

Dalam tahun 1995, A.C.A.B. merakamkan demo yang bertajuk "A.C.A.B" yang memuatkan tujuh buah lagu. Antaranya seperti "Unfairground", "City Girl", "A.C.A.B.", "Fight For Your Right" dan banyak lagi. Ia dikeluarkan oleh label mereka sendiri iaitu Brovver Brigade Records. Demo ini telah terjual melebihi 500 unit meskipun tidak mempunyai sebarang promosi rasmi. Berikutan dengan kejayaan itu, A.C.A.B. bersedia untuk berdepan dengan pengikut-pengikutnya. Hari yang menentukan kemampuan A.C.A.B. beraksi itu telah diadakan di Dynasty Night Club di Ipoh. Itulah persembahan pertama mereka. Namun tiada siapa yang menduga, hampir kesemua pembeli demo mereka turun untuk menyaksikan persembahan mereka, termasuklah khalayak yang diimport khas dari Kuala Lumpur.

Persinggahan band ini bukan setakat di sana sahaja. Sebagai "Godfather Of Skinhead/Oi!", mereka terus memanjangkan langkah ke serata pelusuk tempat. Persembahan demi persembahan dibuat bagi mengumpul lebih ramai rakan baru. Perancangan A.C.A.B. begitu tepat pada waktunya, menjadikan mereka benar-benar dipuja. Malahan lagu-lagu yang terdapat di dalam demo mereka itu dinobatkan sebagai lagu rasmi pengikut skinhead senegara dan sekaligus memecah revolusi. Kepesatan muzik ini akhirnya menjadi pendorong sehingga wujudnya lebih banyak band dengan konsep yang sama. Berfaktorkan itulah, arena ini menjadi semakin berkembang dengan jayanya. Antara band yang berjaya mengikut jejak A.C.A.B. ialah Boot-Off, Skin Rovers, Opponent dan lain-lain lagi.
Pada tahun seterusnya, A.C.A.B. merakamkan EP yang pertama mereka yang berjudul "UNITE & FIGHT". Beberapa insiden telah berlaku semasa EP ini sedang dibuat. Antaranya penarikan diri Anas dan Black. Sungguhpun demikian, EP ini selamat disiapkan dengan kerjasama profesional dari Magskin, Eddie, Sham dan seorang anggota baru di posisi drum iaitu Zul. UNITE & FIGHT bukan sahaja diagihkan kepada pengikut tempatan tetapi juga dipasarkan ke luar negara. EP ini terjual sehingga 2000 unit. Seperti biasa aktiviti persembahan diteruskan selepas itu. Tidak lama kemudian aktiviti band itu terpaksa diberhentikan buat sementara waktu kerana masalah yang melanda. Dalam tahun 1997, Zul pula mengambil keputusan menarik diri dari A.C.A.B. Posisi drum telah digantikan oleh Eddie sendiri manakala Magskin memikul tugas sebagai vokalis dan gitaris. Ketika A.C.A.B. semakin roboh, mereka sempat merakamkan LP "Eastern Oi!" dan single "We Are The Skins".
Malangnya, selepas selesai sahaja proses rakaman, label mereka mengalami masalah kewangan. Maka dengan itu terpaksalah mereka menjual kedua-dua master tape tadi kepada Strange Culture Records. We Are The Skins dipasarkan pada tahun berikutnya, manakala Eastern Oi! menemui peminatnya pada tahun 1999. Dari kedua-kedua produk tersebut, hanya Eastern Oi! sahaja yang berjaya menepati target mereka, di mana ia terjual sebanyak 10 000 unit dalam masa yang singkat. Sungguhpun begitu, jualan LP yang memberangsangkan tidak berjaya memulihkan semangat dan masalah dalaman A.C.A.B. Satu demi satu anggotanya mengundur diri beralasankan peribadi.

Ketika ini, tinggal Magskin seorang yang masih setia mencari jalan penyudah kembali megah kembali seperti sebelumnya. Ikrar tetap digenggam. Walau apa pun yang terjadi, A.C.A.B. takkan terkubur. Magskin melepaskan segala kesedihannya melalui sebuah lagu iaitu RINTANGAN HIDUP DUNIA yang dirakamkan untuk album TRIBUTE TO RUSTY BLADE. Alaf baru 2000, misi baru A.C.A.B. terlaksana. Mereka bukan sahaja raja di pentas gig, tetapi jugak bertakhta di pentas konsert. Stadium Negara dan Bukit Jalil menjadi saksi kebanggaan A.C.A.B. dengan lebih ramai penonton. Memandangkan ia menjadi satu sejarah, persembahan di kedud-dua konsert itu telah diabadikan di dalam satu album iaitu LIVE & LOUD yang dikeluarkan oleh Clockwork Records dan terjual sehingga 10 000 unit.

Dalam tahun 2001, A.C.A.B. terlibat dalam album TRIBUTE TO SWEET CHARITY terbitan EMI. Lagu 'Musibah' dibawakan dengan cara mereka sendiri. Pada waktu yang sama, Sham kembali ke pangkian band ini dan Eddie juga dipanggil semula untuk sama-sama mengembalikan detik kegemilangan A.C.A.B. pada suatu ketika dahulu. Bukan mudah untuk mendapatkan semula khidmat Eddie kerana dia begitu sibuk dengan band Skanya iaitu, Gerhana Ska Cinta. Namun demi kasihnya terhadap band ini, akhirnya dia bersetuju dan kelima-lima mereka membuka lembaran baru menerusi gig Eastern Oi!

Kini mereka terus berbangga dengan kejayaan album kedua mereka, SKINHEAD 4 LIFE yang diragut 4000 pembeli dalam tempoh sebulan ia dipasarkan. Turut dipasarkan terdahulu ialah album koompilasi DAYS OF BEING WILD dan juga single STREETS OF UPTOWN. Penampilan baru A.C.A.B. memberi kelainan berbeza berbanding dengan album yang terdahulu. Muzik dan mesej yang disematkan jauh berbeza mengikut peredaran zaman. Sememangnya jauh lebih baik dengan guitarwork dan basslines yang lebih padat, hentakan drum yang lebih padat serta vokal Magskin yang lebih bersemangat.

Pada tahun 2006, setelah Megat hafiz kembali ke Malaysia, A.C.A.B. muncul kembali dengan nama baru iaitu The A.C.A.B. serta memperjuangkan genre muzik baru iaitu rock indie, muzik yang menarik minat Max Hafiz(Megat Hafiz) ketika menuntut di London.
Album mereka yang berjudul 'This Is The A.C.A.B.' dikeluarkan pada 09 Mac 2006 yang lalu menampilkan line-up baru; Max, Eddie, Irfan dan Mono.


Era A.C.A.B.
Magskin(Megat Hafiz)
Eddie(Edy J. Herwan)
Hardy Sham
Anas
Black


Era The A.C.A.B.
Max Hafiz(Megat Hafiz) - vokal, gitar
Eddie (Edy J Herwan) - gitar
irfan - drum
Mono - bass




ACAB - Streets Of Uptown


Thursday, 13 April 2017

Megat, ACAB dan But DocMart

Megat, ACAB dan But DocMart


Megat, ACAB dan But DocMart: Satu Kenangan. 
Menyebut nama kugiran A.C.A.B., pastinya kita tidak boleh melupakan vokalis utama dan pengasas bersamanya, iaitu Megat Hafiz (magskin/maxhafidz). A.C.A.B. ditubuhkan oleh dua orang anak muda dari Kuala Lumpur, iaitu Megat dan Eddie (Edy J. Herwan). Kugiran ini digelar sebagai “The Godfather of Streetpunk/Oi of Malaysia” dan lagu-lagu mereka diangkat sebagai ‘lagu rasmi’ pengikut Skinhead Malaysia yang agak ramai tidak berapa lama dahulu.

‘Budaya’ Skinhead, sebagaimana Punk -- yang popular dalam kalangan pelajar sekolah serta anak muda sekitar pertengahan 90an sehingga awal Abad ke-21 -- mendapat maklum balas negatif daripada kalangan media dan masyarakat Malaysia secara umumnya. Namun, imej A.C.A.B yang memakai kasut but Dr Martin (digelar But DocMart), berseluar ketat dan kecil di bahagian bawah, serta berkepala botak, tetap menjadi ikutan sebilangan anak-anak muda ketika itu.


A.C.A.B.
Kugiran ini ditubuhkan sekitar 1994, dan asalnya dianggotai oleh Megat, Eddie, Black (dram), Anas (gitar) dan Sham (bass) yang menerokai muzik ‘Oi!’. Bersama A.C.A.B., Megat dan rakan-rakannya terbabit dalam penerbitan dan proses rakaman beberapa single, E.P, L.P dan album studio. Antaranya, We Are The Skin; Streets of Uptown (single); Eastern Oi! (L.P);  Unite & Fight (E.P.); Skinhead 4 Life; This is The A.C.A.B.(album studio). Untuk rekod, nama A.C.A.B. digunakan dari 1994 sehingga 2003. Selepas persembahan terakhir Megat bersama A.C.A.B. pada 2003, beliau (Megat) melanjutkan pelajarannya ke United Kingdom. Eddie meneruskan kerjayanya bersama Gerhana Ska Cinta manakala Irfan bersama The Times.

‘Tribute to A.C.A.B’
Pada tahun 2004, ‘Tribute to A.C.A.B’ diterbitkan dengan menampilkan beberapa kugiran indie, sebagai penghormatan kepada sumbangan A.C.A.B terhadap muzik Oi!, Streetpunk dan Ska di Malaysia. Antara artis yang terlibat ialah The Times dan Roots N’ Boots.

 
 

The A.C.A.B.
Sekitar tahun 2004, penambahan nama ‘The A.C.A.B.’ dibuat, memandangkan penukaran muzik yang dibawa oleh Megat dan rakan-rakannya, daripada Oi! kepada rock indie (independent rock). Megat yang ‘menghilangkan diri’ selama dua tahun, mula menggunakan gelaran baru, Max Hafiz, dan berjuang bersama rakan-rakan The A.C.A.B: Eddie (gitar), Mono (bass) dan Irfan (dram). Album ‘This is The A.C.A.B’ dikeluarkan sekitar 2006. The A.C.A.B. membawa muzik rock indie, yang mencampurkan nilai muzik rock Asia dan Barat. 

Addukhan
Sekitar Januari 2012, Megat merakamkan single berjudul ‘Purnama’ bersama sebuah kugiran baru, bernama ‘Addukhan.’ Lagu ini dirakamkan di sebuah studio di Sri Damansara oleh Addukhan yang bermaksud ‘asap’ dalam istilah Arabnya. Megat yang menggunakan nama Max Addukhan berperanan bersama Wan Barat sebagai vokalis dan pemain gitar; tatkala Hanna Hamdan beraksi selaku vokalis dan pemain bass. Irfan Iskandar pula bermain dram.

Melanjutkan pelajaran ke Syria
Berdasarkan laporan pelbagai sumber, Megat dilaporkan melanjutkan pelajaran ke Syria. Beliau menuntut dalam bidang bahasa Arab dan Syariah. Beliau mula tampil dengan imej berserban dan berjubah selepas mendalami ilmu agama Islam di Jenderam Hilir. Di dalam satu temubual yang disiarkan dalam Majalah Mastika pada Disember 2009, Megat menyatakan bahawa beliau sudah membuang tatu di tangan dan dadanya.

Khatimah
Tatkala ingatan kita masih segar dengan pelbagai laporan serta kupasan negatif oleh media massa berkenaan ‘budaya’ Skinhead sekitar awal dan pertengahan alaf baru yang lalu, Megat tampil mengejutkan kita dengan gaya berserban dan berjubahnya. Semoga apa yang baik dijadikan tauladan; yang sebaliknya kita jauhkan. Bersamalah kita saling tegur-menegur dan nasihat-menasihati. Kita melihat apa yang dicakap; bukan siapa yang bercakap. Selamat berfikir. Salam.

------------------------------------------- 
Sumber: