Tuesday 11 July 2017

5 Band Yang Pernah Mewarnai Scene Muzik Underground Era 90an


Scene muzik underground di Malaysia dikatakan sudah bermula lewat tahun 70an. Pada ketika itu, penggemar muzik underground lebih terpengaruh dengan muzik bergenre punk kerana banyak membaca majalah-majalah dari England dan juga kerana pengaruh band punk yang sangat popular pada ketika itu iaitu The Sex Pistols.
Pada era 80an, muzik underground sedang membangun dan berkembang. Pada ketika ini, band-band underground semakin dikenali sedikit demi sedikit. Joe Kidd adalah orang pertama yang memulakan scene punk di Kuala Terengganu dan scene muzik underground ini menjadi semakin hangat pada penghujung tahun 80an.
Diawal kemunculan scene muzik underground ini, hanya muzik bergenre metal yang banyak menguasai carta muzik underground. Namun begitu, apabila masuk ke era 90an, scene muzik underground semakin meletup dengan kemunculan band-band underground yang menampilkan muzik bergenre alternatif, punk, skin, grunge, brit pop, hardcore dan juga indie.
Kehadiran mereka di dalam scene underground ini adalah kerana mereka sudah bosan dengan industri muzik tempatan yang hanya lebih tertumpu pada nilai-nilai komersial yang langsung tiada kelainan. Oleh kerana itu, tertubuhlah band-band underground era 90an yang cukup popular dikalangan remaja ketika itu.
Untuk artikel ini, kami akan menceritakan 5 band yang telah membantu dalam menaikkan scene underground dalam era 90an sahaja. Band-band ini telah memberi impak yang sangat hebat kepada para remaja sehingga banyak penganjuran gig dibuat untuk memenuhi kehendak para peminat.
Jom kita lihat 5 band yang telah mewarnai scene underground dalam era 90an ini.

muzik underground
Kredit foto: carburetordung.kerbau.com

Carburetor Dung

Band yang membawa genre muzik punk rock ini telah ditubuhkan pada tahun 1991. Band ini telah ditubuhkan oleh Fendi, iaitu pemain bassist band ini. Namun begitu, nama asal band ini ialah Stormfish. Tetapi, setelah kemasukan Joe Kidd sebagai gitaris, band ini bertukar nama menjadi Carburetor Dung.
Album pertama Carburetor Dung yang berjudul ‘Song For Friends’ telah dilancarkan pada tahun 1993. Pada ketika, bandmates band ini terdiri daripada Fendi, Joe Kidd, Lan Bear, Pari ‘rasta’ Fari dan juga Shahlan. Lagu dalam album ini yang cukup popular sehingga kini dan telah menaikkan nama Carburetor Dung ialah ‘Boo Hoo Clapping Song’.
Carburetor Dung masih lagi aktif bermain muzik sehingga kini dan masih kekal bergerak secara underground. Menurut Joe Kidd, mereka masih mahu berpegang kepada prinsip DIY di mana segala-galanya dibuat oleh mereka sendiri dan tidak terikat dengan peraturan sesiapa. Dengan itu, dapatlah mereka menghasilkan muzik yang benar-benar datang dari isi hati mereka.

muzik underground
Kredit foto: discogs.com

A.C.A.B

Band yang membawa muzik bergenre Oi! ni telah memulakan perjuangan muzik mereka pada tahun 1994. A.C.A.B diasaskan oleh dua anak muda dari Kuala Lumpur bernama Magskin dan juga Eddie. Dari dua orang ini, mereka telah mengambil ahli-ahli lain untuk melengkapkan barisan band ini iaitu Sham, Anas dan juga Black.
Demo pertama A.C.A.B ini telah dilancarkan pada tahun 1995. Demo yang berjudul ‘A.C.A.B’ ini telah dimuatkan dengan 7 buah lagu dan antaranya ialah lagu seperti ‘Unfairground’, ‘A.C.A.B’ dan juga ‘Fight For Your Right’. Demo ini telah dikeluarkan di bawah label mereka sendiri iaitu Brovver Brigade Records.
Band A.C.A.B ini boleh dikatakan sebagai band yang telah menaikkan scene skinhead dalam Malaysia. Lagu-lagu band ini juga kebanyakannya tentang perjuangan hidup golongan pertengahan. Namun begitu, pada tahun 2006, band ini telah membawa genre muzik yang baru. Dari Oi!, band ini beralih ke genre indie rock dan seterusnya mengubah nama band ini menjadi The A.C.A.B.

muzik underground
Kredit foto: metrolyrics.com

Butterfingers

Dua ahli terawal dalam band ini ialah Loque dan juga Kadak. Ini kerana mereka bersekolah di sekolah yang sama iaitu Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Pada tahun 1993, Loque telah bertemu Emmet di mana pertemuan itu menyebabkan Emmet bersetuju beraksi bersama Loque. Line-up terawal Butterfingers pada masa itu ialah Loque, Kadak, Emmet dan juga Kalai di mana Emmet menjadi vokalis utama band ini.
Butterfingers adalah sebuah band yang membawa muzik bergenre grunge memandangkan mereka mendapat pengaruh band grunge yang cukup terkenal di Amerika Syarikat iaitu Nirvana. Dua lagu terawal yang dimainkan oleh band ini ialah ‘Girl Friday’ dan juga ‘Nic O’ Tynne’. Semasa mempersembahkan lagu-lagu ini di Cobra Club House, Petaling jaya, di mana ini adalah persembahan pertama mereka, para penonton telah memberi sambutan gemuruh dan seterusnya menyebabkan mereka menjadi lebih bersemangat untuk bergiat dalam industri muzik.
Butterfingers telah mengeluarkan 6 album setakat ini dan antara lagu-lagunya yang masih diingati adalah seperti ‘Chemistry’, ‘Chrome’ dan terdapat juga lagu-lagu berbahasa Melayu seperti ‘Kabus Ribut’ dan ‘Merpati Sejoli’. Kini Butterfingers boleh dikatakan telah mengundur diri dalam industri muzik tempatan dan Loque akhirnya memutuskan menubuhkan band baru bernama Monoloque.
Namun begitu, Butterfingers akan membuat kemunculan semula dalam acara ‘Rockaway 2016’ yang akan bermula pada 29 Oktober 2016. Inilah peluang kepada para peminat Butterfingers untuk melepaskan rindu mereka.

muzik underground
Kredit foto: thestar.com.my

OAG

Band OAG ataupun nama panjangnya ‘Old Automatic Garbage’ dan kemudiannya ditukar menjadi ‘Orang Asia Genius’ adalah band underground yang telah ditubuhkan pada tahun 1992. Kumpulan ini ditubuhkan selepas menonton Konsert ‘Ikhlas’ pada tahun yang sama. Ahli asal band ini ialah Radhi, Lam dan Chi. Memandangkan zodiak mereka bertiga ialah Leo, maka lambang singa digunakan untuk menjadi logo OAG.
OAG adalah band yang membawa muzik bergenre rock alternatif dan pada asalnya band ini cuma bergerak dalam scene underground. Tetapi, selepas OAG menghantar demo mereka kepada Positive Tone dan telah menarik perhatian Paul Moss (penerbit) dan beliau terus mendaftarkan OAG di bawah Positive Tone.
OAG boleh dikatakan sebagai band yang berjaya mencipta nama di arus perdana walaupun bermula di scene underground. Antara pencapaian membanggakan OAG ialah apabila band ini dipilih untuk menyanyikan lagu tema yang bertajuk ‘Name of The Game’ untuk Piala Dunia Belia 1997.

muzik underground
Kredit foto: mp3tunes.tk

The Pilgrims

Band ini ditubuhkan pada tahun 1987 dan berasal dari Kuantan, Pahang. Pada asalnya, nama band ini ialah Hijrah. Tetapi, apabila mereka mendapat tahu ada band di Sarawak yang menggunakan nama yang sama, band ini mengubah nama mereka menjadi The Pilgrims.
Band ini dianggotai oleh 4 orang anak muda dan line-up asal band ini ialah Kombat, Bob Magnus, Hashim Semirin dan Bain. Band ini membawa muzik bergenre metal, tetapi ada yang mengatakan bahawa band ini membawa muzik bergenre punk rock. Album pertama mereka dilancarkan pada tahun 1992 dan berjudul ‘Perfume Garden’.
The Pilgrims telah menghasilkan 5 buah album di mana album terakhir mereka yang berjudul ‘Achtung. This Is Not A Metal Band’ telah dikeluarkan pada tahun 2000. Band ini juga sebenarnya turut mendapat sentuhan bandmate Carburetor Dung iaitu Joe Kidd. Antara lagu-lagu popular yang dimainkan oleh band ini ialah ‘Churaliya’ dan juga ‘Sua Sui Good Morning’.
Kehadiran 5 band ini dalam scene muzik underground Malaysia sememangnya telah mencipta fenomena yang tersendiri. Selain itu, para pendengar muzik pada ketika itu mempunyai lebih banyak pilihan berbanding mendengar muzik-muzik tempatan yang hanya mempunyai nilai-nilai komersial.
Andainya anda mempunyai pendapat dan pandangan tentang scene muzik underground Malaysia ini, kami berharap agar anda dapat tinggalkan pendapat anda dalam ruangan di bawah. Kami berminat untuk berkongsi dan juga bertukar-tukar pandangan dengan anda. Jangan lupa komen ya.

Sumber: Malayneum.tripod.com ,Wikipedia, FB Page Carburetor Dung, FB Page The Pilgrims , www.mensive.com 


0 comments :

Post a Comment