Wednesday 23 August 2017

BIOGRAFI : F.T.G.




F.T.G. (adalah singkatan kepada FREEDOM THAT’S GONE) telah wujud dari tahun 1989 bersama- sama dengan CROMOK dan merupakan band Metal pertama di Malaysia yang menjadi terkenal. Line-up asal terdiri daripada Bart (Vokal), Mie (Bass), Jac (Gitar) dan Zam (Drum). Band ini telah mengeluarkan album mini pertama mereka di bawah label mereka sendiri iaitu FGM Productions pada pertengahan tahun 1991 dan ianya boleh dikatakan berjaya diterima untuk album berbahasa Inggeris pada waktu itu. Tahun berikutnya, mereka telah mengeluarkan album penuh mereka yang pertama bertajuk “After The Promise” di bawah label VSP Records dan album tersebut telah terjual lebih daripada 20,000 unit, sesuatu yang mengkagumkan memandangkan waktu itu merupakan era muzik Melayu Balada sedang berada di kemuncak.
Di dalam tempoh ini, F.T.G. telah menjelajah ke seluruh negara dan telah berjaya membina empayar mereka sehingga ke hari ini. Pada 1994, band tersebut telah menukar label mereka, mereka telah bekerjasama dengan PonyCanyon dan telah mengeluarkan album ketiga mereka yang bertajuk “Spirit To Rebel”. Kerja keras mereka mengadakan jelajah terbalas apabila album ketiga mereka telah terjual lebih daripada 30,000 unit tanpa promosi di radio dan sangat kurang liputan daripada media. Band-band yang lain boleh mendakwa mereka adalah band metal tetapi tiada yang serupa dengan F.T.G.:mereka tdak pernah bertolak ansur dengan muzik mereka, walaupun band-band ‘metal’ yang lain merakamkan lagu-lagu ‘soft ballad’ bagi membolehkan muzik mereka dimainkan di radio.
Band tersebut telah berehat selama setahun daripada rakaman tetapi mereka masih bermain 2 hingga 3 kali seminggu di dalam konsert. Pada Julai 1996, mereka kembali dengan album keempat, “To The Front”. Dalam masa 3 bulan, album tersebut telah dianugerahkan platinum (25,000 unit ke atas) dan di akhir tahun, album tersebut telah terjual lebih daripada 40,000 unit. Ia merupakan album terakhir buat Bart kerana selepas album tersebut dikeluarkan, Bart telah meninggalkan band atas sebab-sebab peribadi.
Walaubagaimanapun, band tersebut telah kembali dengan ahli baru iaitu Tajul sebagai vokalis. Tajul merupakan kawan lama mereka. Tahun 1997 telah dihabiskan dengan menulis dan berlatih lagu baru dan juga material yang telah sedia ada dalam persediaan mereka untuk merakamkan album seterusnya. Tahun 1998 menyaksikan pengeluaran album “Stronger Than Steel:The Best Of F.T.G.”, satu album kompilasi daripada album mini pertama mereka sehinggalah ke album yang terkini “To The Front”. Album kompilasi ini juga adalah sebagai tanda permulaan episod baru mereka di dalam sejarah band yang mengekalkan line-up yang sama hampir 8 tahun sehinggalah pengunduran vokalis asal mereka iaitu Bart.
Tahun 1998 juga telah menyaksikan satu lagi sejarah kepada band ini apabila mereka merakamkan album berbahasa Melayu mereka yang pertama. Berlawanan dengan kegusaran peminat mereka bahawa band ini telah semakin ‘soft’ dan telah tewas kepada arus muzik di zaman itu, album bertajuk “Aku Tak Peduli” sesungguhnya TIADA irama balada.Tajul sebagai vokalis yang baru telah menambah apa yang perlu mengikut dimensi yang baru di dalam band tetapi ianya masih lagi mengekalkan identiti F.T.G.-:keras, laju dan masih lagi berat seperti album-album sebelumnya.
“Aku Tak Peduli” telah mengenepikan semua kritikan malahan telah dianugerahkan platinum dalam masa sebulan selepas pengeluarannya dan telah menduduki tangga kedua dalam Carta Album Melayu RIM. Sehingga artkel ini di tulis, “Aku Tak Peduli” telah terjual lebih daripada 40,000 unit. Dalam kesibukan mereka menjelajah, mereka sempat kembali ke studio untuk merekodkan album Inggeris mereka yang seterusnya.
Tetapi projek tersebut terpaksa diketepikan buat sementara apabila pemain bass iaitu Mie membuat keputusan untuk memainkan lagu-lagu cover dalam versi mereka sendiri bagi lagu-lagu kegemaran mereka untuk persembahan. Akhirnya, mereka telah mengeluarkan album bertajuk “Made In Malaysia” yang mengandungi lagu-lagu cover yang dimainkan mengikut citarasa mereka sendiri. Album ini dianggap sebagai album khas yang dibuat bagi menghargai band-band kesukaan mereka dan juga sebagai satu jalan keluar daripada tekanan untuk merakamkan album baru. Lagu-lagu cover sepert “Paranoid”, “Black Night”, “Wish You Were Here” daripada kumpulan Pink Floyd, Black Sabbath dan Deep Purple adalah antara yang terkandung di dalam album ini. “Made In Malaysia” telah berjaya terjual lebih daripada 10,000 unit dalam masa seminggu daripada tarikh pengeluarannya dan sehingga ke artkel ini ditulis, album tersebut telah terjual lebih daripada 30,000 unit.
Media arus perdana kini telah membuka mata terhadap muzik metal dan tidak dapat mengenepikan hakikat bahawa F.T.G. adalah merupakan band metal utama di Malaysia. Tiada apa yang dapat menahan F.T.G. tambahan lagi dengan kejayaan demi kejayaan mereka di dalam konsert yang dimainkan.
Kemuncaknya dengan konset Metal Wars yang telah diadakan di Sunway Amphitheatre pada 31 Julai 1999, yang telah dibanjiri lebih daripada 5,000 peminat. Konsert ini juga telah dirakamkan dan telah dikeluarkan sebagai album “Live At Metal Wars”. Mendengar album ‘live’ mereka, membuatkan kita terperangkap di dalam keasyikan dan kesungguhan mereka sebagai satu band. Album itu juga telah menjadi album pertama mereka yang telah menduduki tangga teratas di dalam Carta RIM pada minggu pertama pengeluarannya.
Band tersebut berehat selama 3 bulan sebelum kembali semula pada akhir tahun 1999 untuk menulis dan merekodkan album Melayu mereka yang kedua. Rakaman album tersebut mengambil masa lebih kurang 4 bulan, merupakan masa paling lama yang diambil mereka untuk merekodkan satu album. Album baru ini menjadi permulaan satu episod baru kepada band ini dalam halatuju muzik mereka. Jika sebelum ini peminat mengenali F.T.G. dengan muzik ‘thrash metal’, album baru ini menyaksikan mereka menggunakan pendekatan lebih melodic di dalam genre mereka dengan memasukkan elemen-elemen hardcore dan funk kedalam lagu-lagu mereka. Telah dikeluarkan pada April 2000, F.T.G. ternyata masih lagi berjaya menawan hati peminat bilamana album baru mereka telah terjual lebih daripada 20,000 unit dalam masa sebulan selepas penerbitannya. Walaupun terdapat kritkan-kritkan dan cakap-cakap samada peminat boleh menerima pembaharuan muzik mereka, namun kejayaan mereka telah membuktikan sebaliknya.
Selepas pelancaran album baru mereka, band ini telah membuat satu lagi sessi jelajah dan kali ini sebagai band pengiring kepada XPDC di dalam konsert “Battle Of Brutal”. Ternyata F.T.G. telah berada di kemuncak apabila mereka berjaya mencuri perhatian peminat kepada mereka. Hal ini telah mengukuhkan lagi tapak mereka dalam industri tanah air sebagai ‘live band’ terbaik di Malaysia.
Lantaran permintaan yang sangat tinggi daripada peminat, band ini telah membuat keputusan untuk merekodkan satu lagi album cover song. Kali ini ianya meliputi artis-artis rock daripada Judas Priest hingga lah ke Gary Moore.”Made In Malaysia Vol. 2” telah dikeluarkan pada Januari 2001 dan telah mendapat sambutan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat sepertimana volume yang pertama dahulu. Setelah berehat selama 3 bulan, band ini kembali semula pada pertengahan 2002 dengan lebih banyak sessi jelajah.
Rakaman untuk album “Reborn” adalah sesuatu yang sangat panjang dan agak membosankan ekoran daripada komitmen-komitmen luar ahli-ahli band (Jac baru menjadi bapa dan Tajul telah berkahwin) tetapi album tersebut akhirnya telah siap dirakamkan sepenuhnya pada akhir tahun 2002. “Reborn” telah melakarkan satu lagi fasa baru kepada muzik band ini dengan memasukkan elemen-elemen baru kedalam lagu-lagu mereka (atmospheric, keyboard fourishes, lebih kepada techno like-loops). Peralihan baru ini walaubagaimanapun masih lagi mengekalkan asas muzik yang dibawa oleh F.T.G. dan perubahan ini membuktkan bahawa band ini boleh berkembang mengikut peredaran zaman untuk bersaing dengan band-band yang baru. Dan sepert biasa, kejayaan demi kejayaan ditempa oleh band ini.
Kejayaan ini telah membawa kepada pelancaran album baru F.T.G. bertajuk “Stop This Madness”. Tajuk album ini menggambarkan rasa benci mereka terhadap politik dunia selepas peristiwa 9/11. Dengan track yang membakar semangat sepert “Never”, “Saint Of Tyrant” dan “Mysery (Why Should I Die)”, muzik metal dan lirik lagu F.T.G. adalah berkisar tentang sosial dan politik semasa dunia. Tetapi buat pertama kalinya, lagu “Running With The Wind” tidak mendapat sokongan daripada peminat sepenuhnya, dan dikatakan merupakan lagu F.T.G. yang paling ‘lembut’ yang pernah dihasilkan.

mie (bass), arwah bart (vocal), jac (gitar) dan nizam (drum)
F.T.G. Original line-up



# sumber daripada official page F.T.G.

0 comments :

Post a Comment