Saturday 1 July 2017

BIOGRAFI : Rusty Blade




Bermula tahun 1986 hingga 1989, Search, Wings, Lefthanded, Bloodshed, MAY, SYJ dan BPR adalah antara band rock tempatan yang cukup gah ketika itu.
Namun, jangan dilupakan band rock dari Singapura. Selain Sweet Charity dan The Unwanted, Rusty Blade adalah antara band rock gergasi yang pernah dilahirkan negara seberang tambak itu.
Band yang dianggotai J Yantzen (penyanyi), Khalid Mobin (gitar), Md Noor (gitar), Man Karan (bass) dan Zan (dram) serta ditubuhkan pada 1980 ini agak berbeza.


Paling ketara adalah arah muzik mereka yang lebih berat berbanding band rock seangkatan ketika itu.
Namun, ‘berat’ Rusty Blade bukan sebarang ‘berat’, tetapi cukup menyelerakan dengan gabungan riff, gitar solo dan pukulan dram yang cukup ‘solid’. Ia disertakan dengan vokal padu daripada Yantzen sekali gus menjadikan muzik Rusty Blade seperti selangkah ke depan!
Itulah yang terkandung dalam album mereka seperti 786-Ikrar Perwira pada 1986, Rintangan Hidup Dunia (1987), Berat (1988) dan Awas (1989). Apa yang menarik, Rusty Blade mencipta dan menulis lirik semua lagu mereka, berbeza dengan segelintir band rock ketika itu yang mengharapkan sentuhan komposer dan penerbit terkenal.
Zan, 54, yang juga pengasas Rusty Blade dalam satu temu bual dipetik sebagai berkata, sejak awal lagi mereka sudah merancang menubuhkan band yang hala tuju muziknya berat dan lain daripada yang lain.
“Waktu itu kebanyakan band suka memainkan lagu daripada Deep Purple, tetapi kami lain. Kami layan Black Sabbath, Judas Priest, Thin Lizzy dan Iron Maiden,” katanya.
Sejarah Rusty Blade bermula di Holland Village di tengah-tengah kota Singapura pada lewat tahun 1970-an. Tanpa sebarang nama, band yang ketika itu dianggotai Zan (dram), Yusman Omar (penyanyi), Razak Hamid (bass) dan Yusof (gitar) mula aktif mengadakan persembahan di gig sekitar Singapura.
Ketika pertama kali membuat persembahan di Malaysia di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru pada 1980, band ini masih belum mempunyai nama. Yusof kemudian meninggalkan band ini dan digantikan dengan Said, manakala Ghani menggantikan Yusman. Mereka kemudian menambah seorang lagi pemain gitar iaitu Khalid Mobin dan selepas itulah baru nama Rusty Blade digunakan.
“Gambar pedang pada logo Rusty Blade seperti dalam kulit album sulung, 786-Ikrar Perwira adalah simbolik kepada muzik kami. Pada zaman dulu, pertarungan menggunakan pedang dilihat lebih berani. Itulah juga falsafah perjuangan muzik kami. Lagipun nama itu sesuai dengan muzik kami iaitu heavy metal,” kata Zan.
Sebelum melahirkan album sulung, Yantzen yang juga rakan Zan sejak bersekolah rendah menyertai Rusty Blade menggantikan Ghani. Yantzen yang sebelum itu ditawarkan tempat sebagai penyanyi Sweet Charity sanggup memilih Rusty Blade yang belum ada nama kerana muzik mereka sesuai dengan jiwanya.
Selepas itu, berlaku beberapa lagi pertukaran anggota hinggalah mereka kekal dengan anggota sekarang. Yantzen dan Md Nor kini tinggal di Malaysia, manakala Zan, Man Karan serta Khalid di Singapura.
Tak pernah dibubarkan
Selepas album Awas pada 1990, Rusty Blade terus menyepi. Yantzen selepas itu tampil dengan album solo dan bersama MAY, manakala Zan dan Khalid menjadi pemuzik iringan Ella.
Md Nor pula banyak terbabit dalam kerja rakaman di Malaysia dan Man Karan mengusahakan perniagaan katering di Singapura.
Ramai beranggapan Rusty Blade sudah berpecah atau dibubarkan, namun Khalid, 54, menafikannya.
Khalid ketika dihubungi di Singapura baru-baru ini, menjelaskan Rusty Blade tidak pernah berpecah. Sebaliknya ia hanya ‘direhatkan’ dan masing-masing membawa haluan sendiri.
Pada 1 September 2007 iaitu selepas 17 tahun album terakhir iaitu Awas dipasarkan, Rusty Blade kembali menggegar dalam Konsert Gemilang Merdeka di Stadium Putra, Bukit Jalil bersama Lefthanded, Handy Black, Candy, Aku dan Royce.
Khalid berkata, sejak itu Rusty Blade tidak lagi mengadakan persembahan di Malaysia tetapi lebih banyak di Singapura.
“Kami masih aktif di sini (Singapura) dan kerap juga mengadakan persembahan selain berlatih di studio. Rusty Blade masih dengan anggota yang sama, cuma kami gunakan khidmat bekas pemain gitar Def Gab C, Jemboo jika ada persembahan di sini kerana Md Nor tinggal di Kuala Lumpur,” katanya.
Khalid berkata, mereka ada menerima tawaran mengadakan konsert di Malaysia, tetapi kebanyakannya tidak menepati syarat yang mereka mahukan.
Pada masa sama, menurut Khalid, Rusty Blade merancang mengadakan konsert di Kuala Lumpur yang akan turut dirakamkan dalam format DVD.
“Kami juga sudah mencipta lima lagu baru. Arah muziknya masih sama tetapi dengan gubahan muzik yang lebih mantap dan matang,” katanya yang meletakkan album Awas sebagai album terbaik Rusty Blade dari segi gubahan muzik dan ‘sound’.


0 comments :

Post a Comment