Friday 28 July 2017

Semangat Underground : Ribut Dari Timur





Era kegemilangan muzik rock di Malaysia dikatakan bermula pada awal 1980-an. Kemunculan Search dengan album Cinta Buatan Malaysia pada 1985 dan album kompilasi Battle of the Bands yang menampilkan Lefthanded, Bloodshed, SYJ, Ella & The Boys dan Rahim Maarof & Whitesteel pada 1986 membuatkan rock terus mendominasi industri muzik tanah air.
Genre heavy metal, hard rock, rock & roll dan rock ballad lebih sinonim dengan band rock ‘mainstream’ tempatan ketika itu. Namun, ketika itu sudah ada segelintir anak muda yang meminati genre rock yang lebih ekstrem seperti thrash metal, death metal, black metal, punk, hard core, grindcore dan industrial.
Muzik yang lebih berat dan laju ini sebenarnya tidak diterima di arena muzik ‘mainstream’ di sini. Stesen radio langsung tidak memainkan lagu mereka dan media amat jarang memberikan publisiti.
Ketika itu ia adalah muzik terpencil dan dikategorikan sebagai muzik underground. Walaupun golongan peminat muzik ini kerap dilabel sebagai negatif, ia sebenarnya unik kerana mereka lari daripada kebiasaan muzik arus perdana sedia ada.
Sehubungan itu, usaha seorang pengikut setia muzik ini sejak 1987, Abdul Aziz Itar, 46, membukukan pengalamannya terbabit secara langsung dalam perkembangan muzik berkenaan di negara ini wajar dipuji.
Buku berjudul Ribut Dari Timur setebal 93 muka surat ini menceritakan pengalamannya mengenai perkembangan muzik indie, punk, hard core, thrash metal, death metal dan grindcore pada 1980-an hingga 1990-an atau lebih dikenali sebagai pergerakan muzik underground di Malaysia.
“Muzik sebegini adalah sebahagian daripada industri muzik kita. Sekurang-kurangnya apa yang saya hasilkan boleh menjadi rujukan. Lagipun, tidak banyak buku mengenai band dan muzik sedemikian dibuat secara terperinci dan lengkap di Malaysia,” katanya.
Aziz yang juga wartawan eksekutif di sebuah akhbar harian terkenal berkata, kandungan buku berkenaan menceritakan mengenai perkembangan muzik underground tempatan dan pengalamannya bersama komuniti berkenaan di luar negara.
Mula mengenali band rock dan heavy metal antarabangsa seperti Black Sabbath, Deep Purple, Scorpions, Van Halen, Kiss dan Quiet Riot pada 1984, Aziz kemudian mula tertarik dengan band yang lebih ekstrem seperti Metallica, Megadeth, Napalm Death, Kreator, Sodom, Destruction, Death dan King Diamond.
Selain itu, pada masa sama, di Malaysia sendiri sudah wujud band sedemikian antaranya Punisher, Nemesis, Slap Death, Hijrah, FTG, Saxo, Rator, Blackfire dan ABC...Dead. Bergerak secara underground dan tanpa sokongan media arus perdana, mereka berjaya mengumpul peminat tersendiri.
Aziz berkata, berbanding negara Asia Tenggara lain, Malaysia sebenarnya lebih ke hadapan dari segi perkembangan band underground.
“Buktinya pada 28 Disember 1988, Box Office Malaysia milik Ali Bakar menganjurkan konsert thrash metal pertama di Malaysia di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Ia menampilkan band thrash metal tempatan iaitu Punisher, Nemesis, Saxo dan Slap Death yang dihadiri lebih 3,000 penonton,” katanya.
Azizi berkata, konsert itu turut mencatat rekod kerana belum ada konsert thrash metal diadakan di lokasi besar di Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina sebelum ini.
Menurut Aziz, Ribut Dari Timur turut menceritakan pengalamannya menghasilkan majalah atau fanzine berjudul Thrash Attack dan Vortex From The East pada penghujung 1980-an secara ‘Do It Yourself’ (DIY) hingga dia mampu mewujudkan hubungan dengan band terkenal dari luar negara dan syarikat rakaman antarabangsa.
“Walaupun ia tidak dicetak secara profesional dan hanya menggunakan kaedah fotokopi, ia turut mendapat tempahan dari luar negara. Saya buat A hingga Z. Bermula dengan temu bual sama ada band tempatan atau antarabangsa, menulis, menghasilkan reka letak hinggalah menghantarnya secara pos, semuanya saya lakukan sendiri,” katanya.
Aziz berkata, dia mengambil masa kira-kira setahun untuk menyiapkan buku itu.
“Jika mahu tahu mengenai perkembangan muzik underground di Malaysia, buku ini ada jawapannya,” katanya.
Ribut Dari Timur dijual dengan harga RM60 (termasuk pos).


0 comments :

Post a Comment