Monday 2 October 2017

Era Kegemilangan Rock di Malaysia - Rock 80an & 90an


Kegemilangan era muzik rock mencapai kemuncaknya pada penghujung tahun 80an sehingga pertengahan 90an. Tahun 70an hingga awal 80an muzik pop lebih menguasai persada muzik tanahair. Artis seperti Jamal Abdillah, kumpulan Alleycats, kumpulan Gingerbread, kumpulan Sweet September, Goodman Brothers, Atomic Power, Kembara dll amat popular dengan irama pop pada awal 80an sehingga penghujung 80an.

Kumpulan Blues Gang merupakan satu lagi kumpulan yang diminati pada ketika itu. Kumpulan yang mengetengahkan muzik blues & balada itu popular dengan lagu seperti Apo Nak Dikato, Khatulistiwa dll.

Kumpulan yang mengetengahkan muzik rock pada ketika itu adalah kumpulan Sweet Charity yang mula menghasilkan album pada penghujung tahun 70an. Sweet Charity mengetengahkan muzik slow rock & hard rock. Lagu-lagu seperti Sejuta Wajah, Kamelia, Jangan Tunggu Lama-lama, Batu dll antara lagu yang diminati ramai dari kumpulan Sweet Charity yang dianggotai Ramli Sarip (vokal), Rosli Mohalim (gitar utama), Ahmad Jaafar (keyboard), Rahman Sarbani (drum), Syed Hasan (bass) dll.


Kumpulan Kembara juga pada tahun 1985 menampilkan irama yang lebih heavy dalam album Duit. Disamping itu, kumpulan Headwind yang tampil pada awal 80an juga menampilkan irama yang ke arah rock n roll.

Irama rock mula digilai golongan muda bermula tahun 1985. Sebelum itu, pada tahun 1984 kumpulan Sweet Charity menampilkan album Berita Gempa yang mengetengahkan muzik hard rock. Pada tahun 1985, bekas vokalis Sweet Charity, Ramli Sarip tampil dengan album solo pertamanya berjudul Panah Beracun yang menjadi salah satu pencetus irama rock pada ketika itu. Kumpulan Search yang menjadi pemangkin kepada kebangkitan irama rock di Malaysia tampil dengan album pertamanya berjudul Cinta Buatan Malaysia pada tahun 1985. Search pada ketika itu dianggotai oleh Amy (vokalis), Yazit (drum), Yan (bass), Man Kidal (gitar utama) dan Din (gitar kedua). Album Cinta Buatan Malaysia mendapat sambutan yang menggalakkan dari peminat dan berjaya mencapai jualan pada tahap gold disc.

Pada tahun 1985 juga, siri konsert Battle of The Bands yang dianjurkan oleh Box Office yang menampilkan kumpulan-kumpulan yang menjadi juara dalam siri pertandingan Battle of The Bands telah diadakan. Siri konsert jelajah Battle of The Bands menampilkan kumpulan Lefthanded (Johor), Bloodshed (Selangor), Ella & The Boys, SYJ (Ipoh) & Rahim Maarof & Whitesteel. Lagu-lagu seperti Debunga Wangi & Lanun (Lefthanded), Dua Insan Bercinta (Ella & The Boys), Ilusi Sebuah Mimpi (Bloodshed), Orang Timur & Debu Hayalan (SYJ) & Jumpa Sekali Lagi & Sengketa (Rahim Maarof & Whitesteel) menjadi siulan peminat rock pada ketika itu. Guitaris-guitaris, drummer & vokalis-vokalis hebat juga muncul dari siri Battle of The Bands seperti Nash (vokalis) & Man Kidal (guitarist) dari kumpulan Lefthanded, Roshdan (vocal) & Hamdan Reko (guitarist) dari kumpulan Bloodshed, Ella (vokalis) dan Lord (gitar utama) dari Ella & The Boys, Amir (vokalis), Zamri (guitarist) & Eduat (drummer) dari kumpulan SYJ menjadi terkenal pada ketika itu.

Siri Battle of The Bands juga diterbitkan dalam bentuk album iaitu Battle of The Bands 1 & 2 yang dihasilkan pada tahun 1985 & 1986. Malang menimpa bagi kumpulan-kumpulan rock pada tahun 1986. Pada salah satu siri konsert Battle of The Bands di Tapak Pesta Pulau Pinang, penonton menjadi tidak terkawal akibat jumlah kehadiran peminat yang terlalu ramai sehingga menyebabkan peminat merusuh memaksa pihak FRU dikerah untuk mengawal suasana.

Ekoran kejadian tersebut, konsert rock diharamkan oleh kerajaan pada ketika itu. Susulan itu muzik rock dipandang negatif dan dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah.

Pada pertengahan tahun 1986 juga telah muncul siri album Juara-juara Rock I. Siri Juara-juara Rock di barisi oleh juara-juara siri pertandingan Juara Rock yang dianjurkan oleh Dewi Suhana Studio dengan kerjasama syarikat rakaman Warnada. Antara kumpulan rock yang membarisi album Juara-Juara Rock adalah kumpulan M.A.Y, kumpulan Burnmarks, kumpulan D'Febian, kumpulan Metalian dan kumpulan Scandals. Siri Juara-juara Rock kemudian tampil dengan album kedua pada penghujung tahun 1986, Juara-Juara Rock 2.

Sementara itu, syarikat Life Records telah menghasilkan album Clash of The Bands yang menampilkan kumpulan rock dari Singapura seperti TZ (Twilight Zone), Trashed, Handy Black (Johor Bahru), Last Minute & Helter Skelter (Singapura).


   


Tahun 1986, kumpulan Search muncul dengan album kedua mereka, Langit dan Bumi. Search pada waktu itu menampilkan line-up asal iaitu Amy (vokalis), Hillary Ang (lead guitar), Nordin (gitar kedua), Nasir (bass) & Yazit (drum). Lagu-lagu seperti Kejora, Bisa, Kau Pergi menjadi kegemaran ramai. Pada masa yang sama, ikon rock Ramli Sarip tampil dengan album solo kedua, Bukan Kerana Nama.

   

Pada tahun 1986 juga, kumpulan Lefthanded muncul dengan album pertama mereka 'Keadilan' yang memuatkan lagu-lagu popular seperti Tiada Lagi Kidungmu, Lagenda Cinta, Ku Kehilangan Cinta 3 Dimensi dan Debunga Wangi. Anggota Lefthanded semasa album tersebut adalah Man Kidal (lead guitar), Nash (Vokal), Yan (bass) & Man Dayak (drum). Pada tahun yang sama kumpulan heavy metal terkenal dari Singapura, Rusty Blades tampil dengan album EP, 786 Ikrar Perwira bersama kumpulan Pelangi. Rusty Blades pada ketika itu dianggotai oleh Yantzen (vokal), Khalid Mobin (gitar utama), Mamat (gitar kedua), Razak (bass) & Zizan (drum).

   

Ella & The Boys turut menghasilkan album pertama mereka, Ella & The Boys 1 pada tahun 1986. Antara lagu hits dari album tersebut adalah Dua Insan Bercinta, Pesanan Terakhir dll. Kemudian disusuli album kedua Ella & The Boys 2 pada tahun yang sama.

Bermula tahun 1987, muzik rock mula melonjak dan menjadi irama kegemaran golongan muda. Kumpulan SYJ (dikenali Sofea) tampil dengan album pertama mereka, 'Kembali' yang menampilkan semula lagu hits mereka dari album Battle of The Bands seperti Orang Timur & Debu Hayalan. Lain-lain lagu hits adalah Kembali.

Kumpulan Lefthanded pula tampil dengan album kedua mereka, Seruan yang diterbitkan oleh Ramli Sarip. Lagu-lagu hits dari album tersebut seperti Ku Di halaman Rindu, Kenangan Bersamamu & Sentuhan Kidal. Kumpulan Search turut tampil dengan album ke-3 mereka, Mentari Merah Di Ufuk Timur yang melonjakkan populariti mereka. Lagu hebat mereka, Fantasia Bulan Madu memonopoli carta hits pada ketika itu. Ella & The Boys tampil dengan album ketiga mereka berjudul 'Anak Merdeka' yang menampilkan lagu diminati ramai seperti Catatan Tika Rindu & Ku Tak Lagi Kesunyian.
Manakala kumpulan Bloodshed yang terlibat dalam siri album Battle of The Bands 1 & 2 (1985-1986) tampil dengan album sulung mereka juga pada tahun 1987 berjudul Illusi Sebuah Mimpi yang juga menjadi lagu hits dalam album tersebut. Lain-lain lagu yang diminati adalah Memori Biru.



Tahun 1987 menyaksikan kumpulan-kumpulan rock muncul dengan banyaknya. Kumpulan Wings tampil dengan album sulung mereka berjudul Belenggu Irama pada tahun 1987. Lagu kontroversi tersebut menyebabkan kumpulan Wings digam oleh pihak RTM pada ketika itu. Wings diwaktu itu dianggotai oleh Awie (vokalis), Syam (gitar utama), Eddie (bass) dan Black (drum). Walaupun digam oleh pihak RTM, album tersebut mendapat sambutan yang hebat dari peminat rock. Lagu-lagu yang menjadi pilihan dalam album tersebut adalah Belenggu Irama, Intanku Kesepian, Inspirasi Tamingsari, Peronda Jaket Biru & Biarkan Berlalu. Selepas album dikeluarkan, Syam telah berundur dari kumpulan Wings. Tempat Syam digantikan oleh Tam.
Ramli Sarip pula muncul dengan album ketiga solonya berjudul Perjalanan Hidup pada tahun 1987. Lagu-lagu seperti Perjalanan Hidup, Awas Dadah Merbahaya antara lagu kegemaran ramai dari album tersebut.

Kumpulan Bumiputra Rockers (BPR) juga tampil dengan album sulung mereka, Selamat Pagi Malaysia pada tahun 1987 di bawah naungan ITO Production. BPR pada waktu itu dianggotai oleh Joey (vokalis), Awang (gitar utama), Yem C (gitar kedua), Yem Bai (bass) dan Zainal (drum). Lagu popular dari album tersebut adalah Maghrib, Hilang & Istilah Cinta.

Kumpulan heavy metal dari Singapura, Rusty Blade, tampil dengan album kedua mereka Rintangan Hidup Dunia. Lagu-lagu seperti Penantian, Kehilangan merupakan lagu hits dari album tersebut. Sebuah lagi kumpulan dari Singapura The Unwanted juga muncul dengan lagu popular mereka Terperangkap Dalam Sinaran.

Kumpulan Belantara muncul dengan album sulungnya berjudul Belantara pada tahun 1987. Kumpulan yang dianggotai oleh penuntut universiti di luar negeri itu tampil tanpa mendedahkan identiti mereka. Lagu seperti Sutra menjadi lagu hits mereka.

Hattan turut tampil dengan album pertama beliau pada tahun 1987. Kumpulan Wizards juga tampil dengan album pertama & terakhir mereka yang berjudul Pencarian. Sons of Adam yang mengetengahkan irama pop rock turut tampil dengan lagu hits mereka Memori Luka.

Kumpulan D'Episodes dari Singapura juga tampil dengan album sulung mereka Kekejaman Cinta yang juga menjadi lagu hits mereka.



Tahun 1988 merupakan kemuncak pada kumpulan-kumpulan rock. Banyak kumpulan rock baru muncul pada tahun 1988 selepas era kegemilangan rock bermula tahun 1987. Antara kumpulan-kumpulan rock baru yang muncul pada tahun 1988 adalah Kumpulan Desire, Junction, Urgent, Putra, Medicine, Gersang, Lagenda, Misteri, Justice, Stripes, Loving Born, Victim, Handy Black, Ruhil, Wizards dll.

Manakala kumpulan yang pernah bergabung dalam album Juara-juara rock seperti kumpulan MAY, D'Febians yang kemudian dikenali sebagai Febians, Metalian, Burnmark juga telah muncul dengan album penuh pertama masing-masing.

Kumpulan Wings yang berjaya mendapat sambutan ramai dengan album sulung mereka Belenggu Irama pula tampil dengan album kedua berjudul Hukum Karma yang terus melonjakkan nama Wings di persada muzik Malaysia & Singapura. Lagu hits yang menjadi kesukaan ramai sehingga kini yang terdapat album tersebut adalah Taman Rasyidah Utama, Misteri Mimpi Syakilla, Hukum Karma & Opera Hidup. Gitaris baru Wings, Joe (bekas gitaris kumpulan Scandals) membuat penampilan sulung dalam album ini menggantikan Syam & Tam yang mengundur diri dari kumpulan Wings.

Search pada tahun 1988 menghadapi sedikit masalah disebabkan tindakan mereka yang ingin keluar dari syarikat rakaman Polygram yang pada ketika itu dalam proses melancarkan album ke-4 Search. Album yang diberi judul Berpaling muncul juga walaupun tanpa kehadiran Search. Album tersebut mengandungi lagu seperti Setelah Hujan dan Berpaling. Dalam tahun tersebut juga, 2 anggota Search ditahan pihak polis disebabkan oleh penyalahgunaan dadah, tetapi kemudian dibebaskan.

Kumpulan Sofea (SYJ) pula tampil dengan album kedua mereka yang berjudul Anak Liar. Album yang diterbitkan dan dipasarkan oleh syarikat rakaman Warnada dan diterbitkan oleh Thomas Ham menampilkan lagu-lagu hits seperti Bunga Padang Pasir dan Suratan Perpisahan yang dinyanyikan oleh Man Rani (pemain bass). Album tersebut juga mendapat sambutan yang hebat daripeminat rock. Sofea menampilkan Amir, Man Rani dan dua anggota baru iaitu Fancy (gitar utama) dan Ujang drum) menggantikan tempat Zam dan Nahar.

Lefthanded pula tampil dengan album ketiga mereka iaitu Qabul. Lagu-lagu dari album ini adalah Maya Persada, Hidup dan Perjuangan dan Restu Yang Abadi. Album tersebut masih menampilkan Ramli Sarip selaku penerbit seperti album sebelumnya.

Bekas penyanyi The Boys, Ella pula tampil dengan album solo pertamanya berjudul Dunia Kehidupan. Album tersebut diterbitkan oleh Ramli Sarip. Lagu-lagu popular dari album tersebut adalah Pengemis Cinta.
Manakala The Boys telah tampil dengan penyanyi baru, Shima dan dikenali Shima & The Boys.

Ramli Sarip pula muncul dengan album solo keempatnya berjudul Istilah. Lagu Istilah Bercinta merupakan lagu hits dari album tersebut.

Kumpulan Rusty Blade turut muncul dengan ketiga mereka Berat. Album tersebut menampilkan lagu-lagu heavy metal seperti Berat, Jarum Yang Halus, Jasa Tok Janggut dan lagu slow rock hit mereka Tercipta Kasihku. Album tersebut diterbitkan sendiri oleh Rusty Blade.



Syarikat Box Office di bawah Ali Bakar turut tampil dengan album kompilasi juara-juara rock dalam album Hikayat Rok. Album tersebut menampilkan kumpulan Angel Hearts, Steeler, Trooper, Saxo, Rythm Machine, D'Riyadh, Hydra, A.S.K, Laser Ray & Sweet Inspiration. Lagu-lagu hits dari album tersebut adalah Ku Kehilanganmu (Angel Hearts) & Dunia Perhitungan (D'Riyadh).


Satu lagi album gabungan kumpulan-kumpulan rock adalah Pancakara di Cakerawala. Album ini menampilkan D'Riyadh, Sallam,
Manakala album Batu-batu Perjuangan menampilkan kumpulan Sallam, Nuzzantara, Firestarter, Figures & Garhana.

Album gabungan War Rock pula menampilkan kumpulan Black City Rockers, Kejora, Stroyer & Dewanga.

Kumpulan Bumiputra Rockers pula muncul dengan album kedua mereka yang diberi judul Bisa. Album tersebut memuatkan banyak lagu hits mereka seperti Seribu Tahun Takkan Mungkin, Aku Hanya Serangga dan Harum Subur di Hati. Dalam album ini Haron menyertai BPR menggantikan Yem C sebagai gitaris kedua.

Pada tahun 1988 juga kumpulan heavy metal terkenal dari Singapura, Rockers tampil dengan album sulung mereka Kekejaman. Album tersebut mengetengahkan rentak heavy metal. Lagu-lagu hits dari album tersebut adalah Memori, Kenangan Cinta Pertama dan Pengorbanan Cinta.





Sumber : catatan-memori.blogspot.com

0 comments :

Post a Comment